Air mata dan wanita memang tidak dapat dipisahkan. Nikmat perasaan dan air mata tidak dapat dinilaiertikan anugerah itu. Syukur pada Ilahi atas nikmatNya. Untuk entri kali ini ingin aku berkongsi pengalaman yang masih lagi segar dalam ingatan ini. Kejadian berlaku seawal pagi apabila aku bersama seorang sahabat bersarapan di sebuah restoran di Taman Universiti. Restoran yang biasa menjadi tempat pelajar UTM menikmati nikmat makan dan minum.
Kisah bermula apabila ada satu keluarga memasuki restoran tersebut seperti orang lain juga untuk mengisi perut dengan makanan. Kelihatan sepasang suami isteri dan seorang anak gadis. Berdasarkan pemerhatianku, anak gadis itu mungkin cucu kepada pasangan suami isteri berkenaan. Ada sesuatu yang tidak kena dengan anak gadis itu. Aku dapat baca gerak gerinya. Wajahnya kelihatan suram. Aku dapat melihat air matanya mencucuri pipi. Wahai anak gadis, air mata apakah itu? Gayanya bukan air mata gembira. Di tangannya ada handphone yang mungkin dari situ dia menerima berita sedih.
Dalam keadaan itu nendanya menawarkan makanan yang asal tujuan mereka ke sana adalah untuk menikmati nikmat dunia. Tapi dia menolak untuk makan. Sayu hati melihatnya. Anak gadis yang lengkap berjilbab, yang terjaga auratnya. Menitiskan air mata yang pasti benar sedih hatinya itu. Nikmat yang mungkin tidak semua orang dapat. Nikmat air mata untuk melahirkan rasa. Tidak kira sama ada air mata gembira, sedih, bersyukur dan lain-lain. Moga air mata itu air mata kerana rabbnya, Allah. Bukan air mata kerana manusia.
Wahai anak gadis,
La tahzan,
janganlah bersedih,
hidup ini penuh dengan ujian dan dugaan,
yang diberikan Allah kepadamu bukan untuk membuatmu bersedih atau putus asa,
tetapi Allah mahu kamu berfikir di sebalik ujian itu, ada sesuatu yang dia mahu kamu fahami,
andai ujian itu melemahkan hatimu, ingatlah dalam surah Al-Baqarah ayat 214 Allah berfirman,
"Ataukah kamu mengira kamu akan masuk syurga padahal belum datang kepadamu (cubaan) seperti (yang dialami) orang-orang terdahulu sebelum kamu. Mereka ditimpa kemelaratan, penderitaan dan digoncang dengan berbagai cubaan sehingga rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya berkata, "Kapankah datang pertolongan Allah?" Ingatlah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat."
Wahai anak gadis,
Sesunguhnya Allah adalah sebaik-baik perancang,
"Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu padahal itu baik bagimu dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." Al-Baqarah: 216
yakinlah dengan Allah,
hanya dia yang mengetahui apa yang terbaik untukmu.
Jadilah wanita yang membela Islam di mana sahaja kamu berada.
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin , baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang di jalan Allah sehingga mereka membunuh atau terbunuh, sebagai janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al-Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya selain Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang agung." At-Taubah:111
Janganlah kamu terasa asing,
Sabda Rasullullah S.A.W. menerusi riwayat Imam Ahmad bahawa: "Islam bermula asing dan ia akan kembali asing, maka berbahagialah golongan ghuraba' (asing).
Sahabat-sahabat bertanya kepada baginda, "Siapakah golongan ghuraba' ya Rasullullah?" Baginda bersabda, "Mereka adalah golongan yang memperbaiki keadaan yang dirosakkan manusia."
Teruskan hidupmu walau apa pun badai mendatang,
Berpegang teguhlah dengan Islam berdasarkan Al- Quran dan As-sunnah,
"Dialah yang telah mengutus RasulNya dengan petunjuk (Al-Quran) dan agama yang benar untuk DIUNGGULKAN atas segala agama walaupun orang-orang musyrik tidak menyukai."At-Taubah:33
Dunia ini hanya persinggahan, yang dalamnya banyak ujian-ujian keduniaan yang melalaikan,
Dunia ini adalahlah jambatan ke akhirat,
Dunia ini adalah ladang tempat untuk engkau menabur benih yang nikmatnya akan kau rasa di akhirat kelak.
Daripada Tsauban r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda; “Hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa dan seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka”.
Maka salah seorang sahabat bertanya “Apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?” Nabi s.a.w. menjawab, “Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit ‘wahan’.”
Seorang sahabat bertanya, “Apakah wahan itu wahai Rasulullah?” Nabi menjawab, “Cinta pada dunia dan takut pada mati.” (Riwayat Abu Daud)
Jauhilah penyakit wahan,
Penyakit yang hanya dirasakan nikmatnya di dunia,
tetapi siksanya di akhirat.
Moga kau menjadi anak gadis yang berjaya di dunia dan akhirat.
Amin..
2 comments:
Post a Comment