Skudai, 6hb Jan 2009: Jentera Pusat Pro Mahasiswa UTM hari ini mendapat maklumat bahawa lidah rasmi Pro M UTM iaitu promahasiswautm.blogspot.com telah disekat oleh pihak pentadbiran dari dilayari oleh Mahasiswa UTM.
Sekatan ini disedari bermula pagi tadi. Ini menunjukkan seluruh mahasiswa UTM telah dinafikan hak untuk menerima maklumat secara bebas bagi memilih kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) menjelang pilihanraya kampus yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
Pengerusi Pro Mahasiswa UTM, Saudara Nur Azim Fahada turut melahirkan rasa kecewa dan kesal terhadap sikap berat sebelah pihak pentadbiran dalam hal ini. Ini kerana, hanya blog Pro Mahasiswa UTM yang disekat daripada dilayari oleh semua mahasiswa UTM dalam kampus manakala blog Evolusi Mahasiswa@ASPIRASI masih boleh dilayari seperti biasa.
Gambaran ini juga menunjukkan kepada kita bahawa seluruh jentera universiti telah digerakkan untuk memastikan Pro Mahasiswa kalah pada pilihanraya kampus akan datang. Ini adalah permulaan kepada siri pencabulan demokrasi kampus UTM menjelang pilihanraya. Adakah ini salah satu cara yang cuba digunakan oleh pihak pentadbiran untuk menghalang gerakan kesedaran dan kebangkitan mahasiswa dalam memilih kepimpinan yang bakal menerajui MPP? Jika itulah tujuannya, Pro Mahasiswa amat kesal dengan tindakan yang dilihat kurang matang dan sangat tidak selari dengan gagasan budaya ilmu yang diperkenalkan oleh Dato' Naib Canselor.
Justeru, Pro Mahasiswa berharap pihak UTM dapat menilai semula sekatan yang dilakukan terhadap blog promahasiswautm.blogspot.com agar mahasiswa dapat menilai sendiri kredibiliti kepimpinan Evolusi dan Pro Mahasiswa yang bakal mengepalai kerusi Majlis Perwakilan Pelajar UTM sesi 2010 dan dapat menerima maklumat dari kedua-kedua pihak secara telus dan adil.
http://promahasiswautm.blogspot.com/2010/01/hak-mahasiswa-mendapat-maklumat.html
0 comments:
Post a Comment